GUWAHATI, INDIA, 1 SEPT – Lebih tiga juta penduduk telah terjejas oleh banjir monsun tahunan ketika hujan lebat melanda timur India, kata para pegawai hari ini, dengan penduduk menyelamatkan diri ke tanah tinggi ketika tempat perlindungan haiwan liar ditenggelami air.
Monsun penting untuk membekalkan air selepas musim panas membahang namun ia juga boleh menyebabkan kematian dan kemusnahan di seluruh Asia Selatan setiap tahun.
Ribut semakin memburuk akibat perubahan iklim, kata pakar.
Negeri termiskin India, Bihar dan Assam yang kaya dengan hidupan liar telah dilanda oleh hujan berterusan selama seminggu, dengan sungai melimpah dari tebingnya dan menyebabkan ribuan terkandas di kampung tersebut.
Di Assam, paras air Brahmaputra – sistem sungai sempadan besar Himalaya – telah meningkat ke paras berbahaya, menurut pegawai jabatan sumber air kepada AFP.

Penduduk kampung, Amshar Ali berkata penduduk tempatan kini bergelut dengan keperluan asasi.
“Kami berdepan pengalaman getir. Sukar untuk mendapatkan makanan, air minuman dan keperluan lainnya,” beritahu Ali kepada AFP.
“Kebanyakan penduduk tidak mempunyai bot sendiri, oleh itu ramai yang menderita.”
Seorang petani, Liyakat Ali berkata dia terpaksa memindahkan haiwan ternakannya ke kawasan rakannya selepas rumahnya dibanjiri.
“Banjir telah melimpah ke paras empat hingga lima kaki dalam tempoh dua hari lalu,” katanya kepada AFP.
Sekitar 80 peratus Taman Perlindungan Hidupan Liar Pobitora dan Taman Negara Kaziranga – kedua-duanya terletak di sepanjang Brahmaputra dan rumah kepada badak sumba bertanduk satu – telah ditenggelami air, kata pegawai.
“Semua hidupan liar dibawa ke tanah tinggi di tempat perlindungan itu,” kata renjer Pobitora, Nayanjyoti Das kepada AFP.
Para pegawai Assam berkata kira-kira 11 haiwan termasuk dua rusa, lapan pelanduk dan seekor langur telah mati dalam bencana itu. – AFP