India catat jangkitan hampir 10,000

NEW DELHI, 5 JUN – Kementerian Kesihatan India hari ini melaporkan satu lagi catatan peningkatan kes koronavirus baharu iaitu lebih daripada 9,800 dalam tempoh 24 jam.

Secara keseluruhan, jumlah kes India yang disahkan kini berjumlah 226,770 dengan 6,348 kematian, 273 daripadanya dicatatkan dalam tempoh 24 jam terakhir, kata kementerian itu. Kementerian mengatakan kadar mereka yang sembuh daripada penyakit itu adalah sekitar 48 peratus.

Terdapat lonjakan jangkitan di kawasan luar bandar berikutan kepulangan ratusan ribu pekerja migran yang meninggalkan bandar selepas mereka kehilangan pekerjaan berikutan dengan penutupan beberapa sektor di seluruh negara.

Lockdown yang kini berjalan hampir dua bulan sebahagian besarnya dilaksanakan hanya di kawasan berisiko tinggi, yang dikenali sebagai zon penahanan.

Kerajaan negara itu telah membenarkan semula sebahagian perkhidmatan kereta api dan penerbangan domestik untuk beroperasi dan membenarkan pembukaan semula kedai dan kilang-kilang.

Syarikat e-dagang telah mula menghantar barang, termasuk yang dianggap tidak penting, ke tempat-tempat di luar zon penahanan.

Perkhidmatan metro dan sekolah serta kolej bagaimanapun masih ditutup di seluruh negara. Dalam pada itu juga, Perdana Menteri Narendra Modi telah mengumumkan India telah menyumbang AS$15 juta kepada organisasi vaksin antarabangsa. – AFP

Para penunggang motosikal dan pemandu kereta ketika melalui jalan di sepanjang Jambatan Howrah di Kolkata untuk pergi bekerja selepas kerajaan melonggarkan sekatan di seluruh negara. India melaporkan satu lagi catatan peningkatan kes koronavirus baharu iaitu lebih daripada 9,800 dalam tempoh 24 jam. – AFP