India catat lebih 1,000 jangkitan baharu

NEW DELHI, 14 APRIL – Ratusan orang telah diuji positif koronavirus di India di tapak festival keagamaan terbesar dunia, kata para pegawai hari ini, ketika khalayak ramai terutamanya penganut Hindu yang tidak memakai penutup mulut dan hidung turun ke Sungai Ganges.

Virus itu telah dikesan menjangkiti lebih 1,000 orang dalam masa 48 jam di bandar Haridwar, yang terletak di sepanjang sungai suci di mana Kumbh Mela diadakan, kata para pegawai.

Gelombang baharu jangkitan koronavirus itu melanda seluruh India, dengan pakar-pakar menyalahkan acara keagamaan besar-besaran, perhimpunan politik di negeri dan tempat awam yang sesak.

Kerajaan hari ini menangguhkan peperiksaan sekolah menengah bagi pelajar berusia 15 ke 18 tahun yang akan diadakan pada Mei-Jun, di tengah-tengah kebangkitan semula virus tersebut.

Meskipun kes jangkitan virus meningkat, jemaah telah berhimpun dalam jumlah yang besar untuk menyertai perayaan keagamaan tersebut.

Perhimpunan parti politik semasa kempen pilihan raya di Kampung Bhabeshmore, daerah Jalpaiguri, Siliguri pada 14 April turut mencetuskan peningkatan dalam jangkitan koronavirus. – AFP

Daripada 50,000 sampel yang diambil ke atas penduduk di Haridwar, 408 telah diuji positif pada Isnin manakala 594 pada Selasa, kata kerajaan negeri Uttarakhand.

Jumlah terbaharu itu muncul ketika Yogi Adityanath, ketua menteri dari negeri jiran Uttar Pradesh, mengatakan dalam laman Twitter dia telah diuji positif COVID-19 hari ini.

Negara yang sudah pun mengatasi jumlah jangkitan Brazil itu hari ini turut melaporkan lebih 184,000 jangkitan dalam tempoh 24 jam – peningkatan terbesar dalam masa sehari sejak permulaan pandemik, membawa jumlah keseluruhan kepada hampir 13.9 juta kes.

Jumlah kematian harian India melebihi 1,000 hari ini buat pertama kali sejak pertengahan Oktober.

Pihak berkuasa tempatan telah mengenakan perintah berkurung malam dan menyekat pergerakan serta aktiviti termasuk di bandar Mumbai, Maharashtra. – AFP