India catat peningkatan 2,000 kematian

NEW DELHI, 17 JUN – Angka kematian di India meningkat kepada 11,903 selepas lebih 2,000 kematian terpaksa di-tambah selepas disemak semula hari ini.

Mumbai ketika ini menukar data dari 862 kes kepada 3,165 kes ekoran percanggahan perkiraan, manakala New Delhi pula menyaksikan kematian meningkat kepada 400 kes.

Malah, tidak dapat dipastikan berapa banyak kematian berlaku sebelum tempoh semalam disebabkan tempoh yang terlalu lama.

Pandemik itu menyerang teruk India khususnya di bandar-bandar besar dan Chennai ketika ini menjalankan perintah berkurung terbaharu bermula Jumaat lalu susulan peningkatan kes.

Bagaimanapun di sebahagian tempat lain, perintah itu diringankan kerana bimbang kesan ekonomi yang membinasakan.

Pegawai kesihatan mendapatkan sampel swab daripada seorang lelaki bagi ujian COVID-19 di sebuah pusat sementara di hotel New Delhi, 17 Jun. –AFP

India ketika ini berada di kedudukan keempat paling teruk di landa kes COVID-19 dengan data menunjukkan sebanyak 354,065 kes.

Pakar bagaimanapun menganggarkan jumlah sebenar kes itu adalah lebih tinggi dan menggesa supaya saringan dibuat dengan lebih meluas.

Keadaan bertambah buruk apabila hospital-hospital di bandar terjejas teruk berdepan kesukaran akibat pandemik itu, memaksa Jerman menjadi negara pertama memberi amaran kepada rakyatnya mengenai keadaan di negara itu.

Menteri luar Jerman difahamkan sudah menghantar pesanan kepada rakyatnya di India dengan mencadangkan mereka dan keluarga supaya mempertimbangkan secara serius untuk kembali semula ke Jerman atau negara lain yang mempunyai sistem kesihatan yang lebih baik.

Pesanan itu turut menjelaskan, meskipun perintah berkurung diringankan di negara itu, berbanding dengan negara Eropah, jumlah kes dilihat semakin meningkat dan kemungkinan risiko jangkitan adalah tinggi.

Pejabat kedutaan turut menjelaskan pakar perubatan mereka percaya, orang yang dijangkiti virus itu atau berdepan masalah kesihatan

lain adalah ‘tiada atau mempunyai peluang kecil untuk dimasukkan ke hospital’ dan itu adalah pertimbangan risiko kesihatan untuk berada di India. – AFP