India diarah bentang pelan bekalan oksigen

NEW DELHI, 5 MEI –  Kerajaan India hari ini berdepan seruan bagi perintah berkurung lebih ketat bagi memperlahankan peningkatan jangkitan membinasakan, turut diarahkan oleh mahkamah tinggi untuk membentangkan pelan bagi memenuhi keperluan oksigen hospital-hospital di New Delhi dalam masa sehari.

India berdepan jangkitan koronavirus berleluasa dengan 382,316 kes baharu disahkan dan 3,780 kematian dalam masa 24 jam lalu, dalam apa yang dipercayai penghitungan jumlah yang kurang tepat.

Mahkamah Tinggi memutuskan segera menghukum para pegawai kerana gagal menamatkan dua minggu yang tidak menentu dalam bekalan oksigen kepada hospital-hospital yang terbeban. Hakim Mahkamah Tinggi mengatakan, “kesudahannya memenjarakan para pegawai atau mengheret para pegawai kerana pengabaian mereka, tidak akan membawa oksigen. Tolong beritahu kami langkah-langkah untuk menyelesaikannya.”

Mahkamah mengekalkan notis pengabaian oleh kerajaan ditetapkan sebuah mahkamah rendah di New Delhi kerana mengingkari arahan membekalkan oksigen mencukupi kepada lebih 40 buah hospital di New Delhi.

Walaupun terdapat sedikit penurunan jangkitan sejak Sabtu, kes melonjak semula kepada 382,316 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini mencecah 20.66 juta.

Selepas mencatatkan lebih 400,000 kes baharu – rekod baharu pada Sabtu lalu – terdapat penurunan kes harian pada Selasa iaitu 357,229.

Lonjakan kes harian menyebabkan sistem kesihatan lumpuh, dengan beberapa hospital di New Delhi kekurangan alat oksigen.

Sementara itu, Bank Rizab India mengumumkan kemudahan kecairan sebanyak 500 bilion rupee India (AS$6.7 bilion) untuk akses perkhidmatan kesihatan kecemasan. “Di bawah skim itu, bank dapat memberikan sokongan pinjaman baharu kepada pelbagai entiti termasuk pembuatan vaksin … dan juga pesakit untuk mendapatkan rawatan,” kata Gabenor Shaktikanta Das. – AP/Bernama

Wanita India berjalan di jalan yang lengang semasa arahan perintah berkurung dalam usaha mengekang penularan koronavirus, selepas mendapatkan bantuan makanan agihan di Srinagar, Kashmir yang dikawal India, 5 Mei. – AP