India dihantui gelombang haba, COVID-19

NEW DELHI, 27 MEI – India kini mencair di bawah gelombang haba, dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius dan ibu negara pula mengalami hari paling panas pada Mei dalam masa hampir dua dekad.

Gelombang haba dijangka melanda utara India selama beberapa hari, menurut Jabatan Meteorologi lewat semalam, ‘dengan gelombang panas teruk di beberapa buah kawasan terpencil.’

Ketika suhu global meningkat, gelombang haba adalah sesuatu yang lazim berlaku di negara itu, khususnya pada bulan Mei dan Jun. Tahun lalu, berpuluh-puluh maut akibat gelombang haba.

Pegawai meteorologi mengatakan Churu di utara negeri Rajasthan merupakan kawasan paling panas direkodkan pada Selasa, dengan suhu 50 darjah Celsius, manakala sebahagian Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh pula mencatatkan kepanasan setinggi 40 darjah Celsius.

Manakala sebahagian kawasan di ibu negara, New Delhi merekodkan hari terpanas dalam masa 18 tahun, mencecah suhu 47.6 Celsius.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini, namun kerajaan tahun lalu mengatakan gelombang haba membunuh 3,500 orang semenjak 2015. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, angka kematian berkurangan.

Gelombang panas menambahkan lagi masalah kepada negara yang sudah pun berhadapan dengan penularan koronavirus.

India kini merupakan antara 10 negara paling tinggi jangkitan koronavirus di seluruh dunia, menyaksikan peningkatan kes sebanyak 150,000 orang hari ini, dengan hampir 4,500 kematian. – AFP

Seorang pekerja melepaskan dahaga dalam keadaan panas selepas kerja-kerja merumput di sebuah taman berhampiran India Gate ketika suhu panas di New Delhi mencecah hampir 50 darjah Celsius, yang terpanas pada bulan Mei dalam hampir dua dekad. – AFP