India dilanda virus Nipah

NEW DELHI, 7 SEPT – Negeri di selatan India, Kerala hari ini segera meningkatkan usaha untuk mengekang penularan virus membawa maut, Nipah, di tengah-tengah penularan tinggi kes koronavirus di negara itu.

Kerala dalam kewaspadaan tinggi selepas seorang budak berusia 12 tahun mati disebabkan virus jarang dikesan itu pada Ahad, menyebabkan pihak kesihatan mempercepatkan pengesanan kontak dan mengasingkan beratus-ratus lagi orang yang mempunyai kontak dengan budak itu, yang mati di hospital di bandar pesisir pantai, Kozhikode.

Menteri Kesihatan negeri itu hari ini memberitahu wartawan bahawa sampel lapan kontak utama didapati negatif.

“Ujian negatif lapan kontak utama ini memberikan kita kelegaan,” kata Veena George. Nipah yang pertama kali dikenal pasti semasa letusan wabak dalam lewat tahun 1990an di Malaysia, boleh merebak melalui kelawar buah, khinzir dan kontak manusia-ke-manusia.

Tidak ada vaksin bagi virus itu yang boleh mengakibatkan demam kuat, kekejangan dan muntah-muntah. Satu-satunya rawatan ialah rawatan sokongan untuk mengawal komplikasi dan memastikan pesakit selesa.

Virus itu mempunyai kadar kematian antara 40 dan 75 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menjadikan ia lebih dahsyat berbanding koronavirus.

George mengatakan lebih banyak sampel akan diuji hari ini dan sejumlah 48 kontak termasuk lapan yang diuji negatif, sedang dipantau di sebuah hospital. Pegawai juga akan menjalankan pemantauan rumah ke rumah dan mengenal pasti kontak sekunder.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan telah menghantar sepasukan pakar ke Kozhikode bagi membantu pegawai tempatan menjalankan pengesanan kontak.

Mereka juga mencadangkan senarai rekomendasi, termasuk mempertingkatkan infrastruktur kesihatan sekiranya lebih banyak kes dikesan dan memberi amaran kepada daerah berdekatan. – AP

Petugas kesihatan mengambil sampel darah daripada seekor kambing bagi menguji virus selepas seorang budak lelaki mati akibat virus Nipah di Kozhikode, negeri Kerala, India, 7 September. – AP