India eksport vaksin COVID pertama

NEW DELHI, 20 JAN – India mengeksport kumpulan pertama vaksin koronavirus yang dihasilkan farmaseutikal tempatan, hari ini, kata para pegawai, ketika firma vaksin terbesar di dunia itu bergelut untuk memenuhi permintaan dari negara lain yang terdesak untuk melindungi penduduk mereka.

Maldives dan Bhutan akan menjadi penerima pertama vaksin koronavirus India, sementara Brazil dan Afrika Selatan juga antara dalam senarai yang menunggu.

Menteri Luar Negeri, S. Jaishankar berkata dalam Twitter yang ‘Farmasi Dunia itu akan dihantar untuk menangani cabaran COVID-19.’

Dasar itu dilihat sebagai sebahagian tekanan dari India untuk merangsang kuasa lembutnya dan mengatasi pesaingnya, China, yang juga membekalkan vaksin ke negara lain.

Pada Januari, pengawal atur meluluskan dua vaksin – satu, Covishield yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford dan dihasilkan oleh Serum Institute, India dan Covaxin yang dihasilkan oleh firma tempatan Bharat Biotech.

Kerajaan India berkata Maldives akan menerima bekalan percuma sebanyak 100,000 dos Covishield hari ini, sementara Bhutan akan menerima 150,000 dos sebagai ‘hadiah’.

Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Seychelles akan menyusulinya tidak lama lagi, menurut New Delhi.

India merancang untuk menawarkan 20 juta dos ke negara jirannya Asia Selatan, lapor Bloomberg News minggu lalu, bersama yang lain di Amerika Latin, Afrika dan Asia Tengah akan datang.

Serum Institute, penghasil vaksin terbesar dunia dari segi isi padu juga merancang untuk membekalkan 200 juta dos kepada Covax, usaha yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menghasilkan dan mengedarkan inokulasi kepada negara-negara miskin. – AFP

Seorang jururawat memegang Covishield, vaksin koronavirus AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute, India di hospital Baruipur, Kolkata pada 18 Januari. – AFP