Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India guna rupee beli minyak Iran

    NEW DELHI, 20 Sept – Pemilik kilang penapis India akan membuat pembayaran kepada Iran bagi pembelian produk minyak negara itu dalam mata wang rupee, melalui Bank UCO dan Bank IDBI, mulai 4 November apabila sekatan berkaitan petroleum terhadap Iran berkuat kuasa, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) memetik laporan media India hari ini.

    Menurut Economic Times India, yang memetik kenyataan ‘pihak yang rapat dalam isu ini,’ India turut menawarkan untuk mengurangkan pembelian minyak dari Iran dengan ketara dalam usaha mendapatkan pengecualian daripada Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan importnya.

    Tanpa pengecualian itu, perdagangan minyak atau urus niaga kewangan dengan Iran berisiko menyebabkan India dibuang daripada sistem kewangan AS.

    “Indian Oil Corp, Mangalore Refinery and Petrochemicals (MRPL) dan Nayara Energy (sebelum ini dikenali sebagai Essar Oil) adalah antara pengimport terbesar India bagi minyak Iran yang turut menikmati kos penghantaran lebih murah serta tempoh kredit 60 hari lebih lama dan pelan mereka untuk mengangkut minyak Iran pada bulan September dan Oktober bermakna mereka perlu membayarnya selepas sekatan itu berkuat kuasa pada 4 November.

    “Kesemua pembayaran ini akan dibuat dalam mata wang rupee. Kerajaan telah mengenal pasti Bank UCO dan Bank IDBI untuk menyalurkan pembayaran bagi pembelian minyak kepada Iran memandangkan kedua-dua bank tidak terdedah kepada sistem kewangan AS dan Bank UCO menjadi rakan kongsi pilihan kerana ia telah mengendalikan perkara ini semasa sekatan terdahulu,” lapor Economic Times. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda