India import minyak sayur bernilai AS$8.8 bilion

NEW DELHI, 15 OKT – India mengimport minyak sayuran bernilai lebih AS$8.83 bilion dalam tempoh April hingga September tahun ini, sekali gus merekodkan peningkatan nilai 84.8 peratus berbanding tempoh yang sama 2020, menurut data perdagangan terkini yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan.

Import minyak sayuran pada September sahaja bernilai AS$1.99 bilion, hampir 132 peratus lebih tinggi daripada angka pada September 2020. India mengimport sejumlah besar minyak sawit, minyak kacang soya dan minyak bunga matahari untuk memenuhi permintaan penggunaan domestik.

Keseluruhan import oleh negara ini pada separuh pertama tahun fiskal 2021-22 meningkat 40.52 peratus kepada AS$341.1 bilion berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah eksport barangan dan perkhidmatan adalah AS$312.47 bilion, mewakili peningkatan 64.91 peratus berbanding tempoh enam bulan 2020. – Bernama