Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, Iran perkukuh hubungan ekonomi

    TEHRAN, 18 Feb – Iran dan India bersetuju menandatangani sembilan perjanjian semalam untuk mengembangkan hubungan ekonomi dengan menumpu pada pembangunan dan penggunaan pelabuhan strategik Iran iaitu Chabahar Port.

    Perjanjian ditandatangani dengan kehadiran Presiden Rouhani dan Perdana Menteri India Modi di ibu negara India semalam.

    Menurut perjanjian utama, Iran telah memberikan operasi pelabuhannya di selatan, pelabuhan Shahid Beheshti, kepada India; satu langkah yang akan membolehkan India untuk mengelak Pakistan dan sampai ke pasaran-pasaran di Afghanistan, Tengah India dan seterusnya.

    Berdasarkan perjanjian itu, Iran akan membenarkan kawalan operasi Shahid Beheshti, di bandar pelabuhan Chabahar di bahagian utara Laut Oman, kepada India bagi tempoh 18 bulan, lapor Press TV.

    Dalam sidang media bersama Modi semalam, Rouhani berkata Chabahar boleh mengukuhkan hubungan bersejarah India dan Iran dengan menjadi penyambung yang menghubungkan benua kecil dengan Afghanistan, Asia Tengah dan Eropah Timur.

    Nath Kovind (kiri), Hassan Rouhani (tengah) dan Narendra Modi (kanan) melambai ke arah jurugambar semasa majlis resepsi di Istana Presiden India di New Delhi. – Xinhua

    “Kami bersedia untuk menandatangani perjanjian dua hala dan pelbagai hala untuk menjadikan laluan transit melintasi Chabahar menjadi laluan strategik yang mengukuhkan hubungan serantau,” ujarnya.

    Modi berkata perluasan hubungan adalah penting bagi New Delhi dan negaranya juga berminat membina hubungan landasan kereta api antara Chabahar dan Zahedan, bandar tenggara India, penghubung penting yang diperlukan India untuk meluaskan pencapaiannya ke utara.

    Modi dipetik sebagai berkata “Kami akan menyokong pembinaan hubungan landasan kereta api Chabahar-Zahedan supaya potensi laluan Chabahar boleh sepenuhnya digunakan.”

    “Kami mahu mengembangkan keterkaitan, kerjasama dalam sektor tenaga dan hubungan dua hala yang telah terjalin berdekad-dekad lamanya,” kata beliau lagi.

    “Chabahar boleh mengubah hubungan perdagangan di seluruh rantau itu dan dunia,” ujarnya lagi, dengan menyatakan bahawa India telah pun mula mengeksport barangannya, termasuklah gandum, ke Afghanistan melalui bandar pelabuhan Iran.

    Menteri Pembangunan Bandar dan Jalan raya Iran, Abbas Akhoundi juga berkata ketika menghadiri sesi penandatanganan bahawa New Delhi akan pada awalnya melabur sebanyak AS$87 juta dalam memajukan projek Chabahar.

    Ini akan menjadi sebahagian dari jumlah pelaburan sebanyak dua bilion dolar AS yang akan dibuat oleh India dalam projek-projek pelabuhan dan landasan Iran, tambahnya lagi.

    Semalam, kedua-dua belah pihak juga menandatangani perjanjian mengelak percukaian dua kali, dan Perjanjian Persefahaman pengecualian keperluan visa bagi pasport diplomatik.

    Tehran dan New Delhi juga bersetuju untuk bekerjasama dalam lapangan perubatan tradisional, pertanian, kesihatan dan perubatan dan sektor pos. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda