India kenakan semula perintah berkurung

NEW DELHI, 15 JULAI – Ketika jumlah jangkitan koronavirus di India menghampiri 1 juta kes, perintah berkurung telah dikenakan semula di beberapa kawasan di negara itu ketika kerajaan bergelut untuk terus mempertahankan sistem kesihatannya daripada dibebani dengan penularan wabak berkenaan.

India hari ini telah melaporkan hampir 30,000 kes virus baharu dan 582 lagi kematian, sekali gus menjadikan kes keseluruhan kepada lebih dari 936,000 dan lebih dari 24,000 kematian.

Angka sebenarnya, seperti di tempat lain di dunia, mungkin jauh lebih tinggi kerana ujian terhad dan pemantauan wabak yang teruk, kata para pakar.

Lockdown selama dua minggu yang bermula hari Khamis telah dikenakan di Bihar, sebuah negara bahagian timur dengan jumlah penduduk 128 juta yang sememangnya telah terjejas akibat sistem kesihatan yang lemah.

Sejak Sabtu, Bihar telah mencatat lebih dari 1,000 kes setiap hari, berikutan dengan ujian yang terhad.

Hampir 2.5 juta pekerja migran miskin yang terjejas semasa penutupan awal India di seluruh negara telah kembali ke negeri ini setelah mereka kehilangan pekerjaan di bandar-bandar besar.

Di Bangalore, pusat teknologi utama di selatan India di mana pejabat syarikat teknologi besar seperti Amazon dan Apple berada, kerajaan mengenakan lockdown selama seminggu bermula Selasa petang. Menteri India untuk perniagaan kecil dan sederhana, Nitin Gadkari, mengatakan minggu lalu bahawa para pakar meramalkan kerugian sebanyak AS$133.3 bilion pada tahun berikutnya. – AFP

Seorang lelaki menunggang motosikal di depan kedai-kedai yang ditutup di kawasan komersial selama seminggu bagi mengekang lonjakan kes-kes koronavirus COVID-19, di Bangalore, kelmarin. – AFP