India kesan varian Delta Plus

NEW DELHI, 23 JUN – Kementerian Kesihatan India memberi amaran kepada negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh mengenai varian COVID-19 baharu dikenali sebagai Delta Plus, kelmarin.

Menurut kenyataan kementerian itu, pihaknya turut merujuk varian COVID-19 Delta Plus itu sebagai varian membimbangkan (VOC), lapor agensi berita Xinhua.

“Berdasarkan penemuan baru-baru ini dari SARS-CoV-2 Genomic Consortia India (INSACOG), Kementerian Kesihatan memberi amaran dan menasihati pihak berkuasa di negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh mengenai varian COVID-19 Delta Plus di beberapa daerah di negeri berkenaan.

“Setiausaha Kesihatan sudah memaklumkan kepada ketiga-tiga negeri itu mengenai varian ini ditemui dalam sampel jujukan genom dari daerah Ratnagiri dan Jalgaon di Maharashtra; Palakkad dan Pathanamthitta di Kerala; dan daerah Bhopal dan Shivpuri di Madhya Pradesh,” kata kenyataan itu.

INSACOG ditugaskan bukan hanya untuk mengesan penjujukan genom tetapi juga memberikan input tepat mengenai langkah tindak balas kesihatan awam yang sesuai untuk diguna pakai di negara itu.

Menurut kementerian itu lagi, INSACOG sudah memaklumkan bahawa varian COVID-19 Delta Plus yang pada ketika ini masih lagi di peringkat VOC, mempunyai ciri-ciri meningkatkan penularan, melekat lebih kuat kepada reseptor sel paru-paru dan mengurangkan potensi tindak balas antibodi monoklonal.

Varian COVID-19 Delta Plus, iaitu versi mutan strain Delta yang kali pertama dikesan di India, dijumpai dalam 22 kes di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Pakar kesihatan awam di Maharashtra bimbang varian COVID-19 baharu itu berpotensi mencetuskan gelombang ketiga di India.

Varian Delta Plus dianggap sangat berjangkit dan cepat merebak. – Xinhua

Pesakit menerima rawatan di sebuah wad hospital COVID-19 di Bangalore, India. – Xinhua