India kesan varian Omicron

NEW DELHI, 2 DIS – Dua kes pertama varian Omicron dikesan di India hari ini, selepas beberapa bulan gelombang dahsyat COVID-19 membunuh lebih 200,000 orang di negara itu.

Pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan, Luv Agarwal, berkata dua lelaki di selatan negeri Karnataka masing-masing berusia 66 dan 46, diuji positif varian baharu itu.

“Seperti kelaziman protokol, kontak utama dan sekunder sudah dikenal pasti serta sedang diuji,” katanya pada sidang media.

India masih belum menguatkuasakan larangan perjalanan antarabangsa baharu tetapi Isnin lalu, Kementerian Kesihatan mewajibkan semua pengembara yang tiba dari negara berisiko menjalani ujian COVID-19 selain ujian rawak terhadap ketibaan antarabangsa.

Bandar terbesar negara itu, Mumbai semalam mengenakan kuarantin wajib selama seminggu untuk semua penumpang yang tiba dari negara berisiko.

Omicron, yang pertama kali dikesan di negara selatan Afrika, umpama memberikan satu cabaran baharu buat usaha global untuk memerangi pandemik, dengan beberapa negara melaksanakan kembali sekatan sempadan.

Ia adalah strain COVID-19 baharu yang muncul sejak permulaan pandemik, termasuk varian dominan sekarang, Delta, yang pertama kali dikesan di India pada Oktober tahun lalu.

Lebih 200,000 orang di seluruh negara itu maut akibat gelombang dahsyat COVID-19 antara April dan Jun, sehingga menyesakkan hospital dan pusat pembakaran mayat.

Gelombang itu didakwa berpunca daripada perhimpunan keagamaan besar-besaran iaitu Kumbh Mela, yang dihadiri sekitar 25 juta penganut Hindu. – AFP