NEW DELHI, 6 DIS – India akan mengutamakan keperluan tenaganya sendiri dan akan membeli minyak dari Rusia, kata menteri luarnya semalam, ketika kerajaan Barat mengenakan Moscow dengan harga siling bertujuan mengurangkan pendapatannya daripada eksport minyak.
Menteri Hal Ehwal Luar, Subrahmanyam Jaishankar mengeluarkan komen tersebut selepas mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan Jerman, Annalena Baerbock, di mana mereka membincang hubungan dua hala dan perang Rusia di Ukraine. Jaishankar berkata negara Eropah tidak boleh mengutamakan keperluan tenaga mereka sendiri tetapi ‘meminta India melakukan sesuatu.’
“Eropah akan membuat pilihan. Ia adalah hak mereka,” beritahunya kepada wartawan.
India setakat ini belum komited kepada harga siling AS$60 setong yang ditetapkan oleh negara perindustrian Kumpulan Tujuh dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Rusia yang dijangka berkuat kuasa pada Isnin.
Jaishankar tidak memberikan rujukan langsung kepada harga siling tetapi berkata EU sedang mengimport lebih banyak bahan api fosil dari Rusia berbanding India.
Pegawai India telah mempertahankan pembelian minyak dari Rusia, berkata harga lebih rendah memberikan faedah kepada India.
Sejak serangan Rusia di Ukraine, India telah menambah pembelian minyak dari Rusia. Import minyak India mencecah rekod tinggi pada Oktober, dengan Rusia menjadi pembekal minyak teratas India dari segi jumlah tong sehari, kata agensi berita Press Trust of India, memetik data dari penjejak tenaga Vortexa. – AP