India lancar kapal perayau ke bulan

NEW DELHI, 12 JULAI – India bersedia mengambil langkah besar dalam program angkasa lepas dan memantapkan kedudukannya di kalangan negara angkasa lepas dunia dengan misi keduanya ke bulan, kali ini bertujuan mendarat sebuah kapal perayau berhampiran dengan kutub selatan.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India merancang melancarkan sebuah kapal angkasa lepas menggunakan teknologi tempatan semalam, dan ia dijadual mendarat di bulan pada 6 atau 7 September. Misi Chandrayaan-2 bernilai AS$141 juta itu akan menganalisis galian, memeta permukaan bulan dan mencari air.

Ia akan “pergi ke tempat yang belum pernah dikunjungi oleh mana-mana negara sebelum ini,” kata ISRO dalam satu kenyataan.

Dengan India dijangka menjadi ekonomi kelima terbesar dunia, kerajaan nasionalis Perdana Menteri Narendra Modi berminat untuk menunjukkan kehandalan negara dalam ke-selamatan dan teknologi.

India berjaya menguji senjata anti-satelit pada Mac, yang dikatakan oleh Modi menunjukkan keupayaan negara sebagai kuasa angkasa lepas di samping Amerika Syarikat, Rusia dan China. – AP

Gambar pada Julai yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) menunjukkan Kenderaan Pelancaran Satelit Geosentrik (GSLV) MkIII-MI bersedia untuk dilancarkan pada 15 Julai di Sriharikota, pulau di luar pantai tenggara India. – AP

SAHAM
TerdahuluElak bibir mengelupas
SeterusnyaGara-gara kentut kuat