NEW DELHI, 5 OKT – Pihak berkuasa di New Delhi melancarkan kempen antipencemaran hari ini dalam usaha mengawal tahap pencemaran udara sebelum musim sejuk, apabila ibu negara sering diselubungi jerebu toksik, dan mengingatkan udara kotor boleh menjadikan pandemik koronavirus lebih berbahaya.
Pemimpin ibu negara Arvind Kejriwal, berkata kerajaan akan memulakan kempen antidebu, mengurangkan asap berpunca daripada pembakaran pertanian dan memperkenalkan aplikasi mudah alih yang akan membenarkan rakyat mengemukakan aduan menerusi gambar ke atas mereka yang melakukan pencemaran.
“Udara dicemari boleh menimbulkan ancaman kepada nyawa disebabkan pandemik COVID-19. Kedua-duanya menjejas paru-paru,” kata Kejriwal.
Pakar kesihatan berkata tahap pencemaran udara yang tinggi untuk tempoh berpanjangan telah memburukkan daya ketahanan penyakit penduduk yang tinggal di New Delhi, salah sebuah bandar paling dicemari di dunia, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada koronavirus. Kajian awal juga mencadangkan tahap tinggi pencemaran udara boleh menjadikan jangkitan virus lebih berbahaya.
Dianggarkan lebih satu juta penduduk India meninggal dunia setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan pencemaran. New Delhi mempunyai 285,103 kes koronavirus, termasuk 5,510 kematian. – AP
























