CHENNAI, 18 NOV – India hari ini melancarkan roket pertama dibangunkan secara persendirian, pencapaian terbaharu negara itu ke arah hasratnya menjadi kuasa besar angkasa lepas.
Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) mengeluarkan rakaman pelancaran secara langsung roket seberat setengah tan dinamakan Vikram-S itu. Menurut ISRO, serpihannya jatuh ke laut enam minit kemudian.
Roket tersebut dibangunkan oleh syarikat tempatan, Skyroot Aerospace, mencapai ketinggian puncak, 90 kilometer (km), berada di bawah garis Karman 100km yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan memisahkan bumi dari angkasa lepas.
“Ia merupakan permulaan baharu bagi program angkasa lepas India,” kata Menteri Sains, Jitendra Singh selepas pelancarannya kepada sekumpulan juruteknik yang meraikan kejayaan itu di kemudahan ISRO, dekat pulau yang terletak di bahagian selatan Sriharikota.
India memantapkan program angkasa lepasnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk misi dengan sokongan Rusia yang dijadualkan pada 2023 atau 2024.
Keupayaan dan cita-citanya terus berkembang, diperkukuhkan lagi dengan kejayaan roket dan misinya di luar angkasa.
Pada 2014, India menjadi negara Asia pertama yang sampai ke Marikh dengan pesawat angkasa Mangalyaan.
Dipuji kerana kos pelancarannya yang agak rendah, misi itu meletakkan India dalam kumpulan yang sama dengan Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah. – AFP
