India lancar semula roket ke bulan

NEW DELHI, 18 JULAI – India akan melancar semula misi ke bulan pada Isnin, seminggu selepas membatalkan pelancaran pada saat-saat terakhir disebabkan kebocoran minyak, kata pegawai.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berkata ia telah menjadual semula pelancaran Chandrayaan-2, atau Moon Chariot-2, pada pukul 2:43 petang pada Isnin.

India bercita-cita menjadi negara keempat selepas Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mendarat sebuah kapal angkasa lepas di Bulan.

Ketua angkasa lepas India membatalkan pelancaran roket 56 minit sebelum pelancaran pada pagi Isnin disebabkan apa yang dipanggil oleh ISRO sebagai satu ‘masalah teknikal.’

Laporan media memetik saintis ISRO berkata satu kebocoran bahan api helium telah dikesan.

India telah membelanja kira-kira AS$140 juta ke atas persediaan untuk projek itu, yang merupakan salah satu yang paling murah di kalangan kuasa angkasa lepas antarabangsa.

Secara perbandingan, AS membelanja kira-kira AS$25 bilion, bersamaan dengan AS$100 bilion pada harga sekarang, ke atas 15 misi Apollo pada tahun 1960an dan 70an.

Roket itu akan dilancarkan dari pusat angkasa lepas di Sriharikota, sebuah pulau di luar pantai selatan negeri Andhra Pradesh.

Ia akan membawa sebuah orbiter, pendarat dan perayau yang hampir keseluruhannya direka dan dibuat di India. – AFP

Kenderaan pelancaran satelit Geosentrik (GSLV) Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India membawa Chandrayaan-2, berdiri di Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan selepas misi dibatalkan pada saat-saat akhir di Sriharikota, selatan India pada 15 Julai. – AP