India larang pembakaran tunggul jerami

NEW DELHI, 5 NOV – Mahkamah tinggi India telah mengarahkan pembakaran tunggul jerami dihentikan serta-merta di Delhi, penyumbang besar kepada jerebu yang mendorong 20 juta penduduk metropolis menghirup udara ‘amat teruk’ pada hari ini.

Mahkamah Agung berkata penghuni ibu negara ‘kehilangan tahun-tahun berharga nyawa mereka’, menambah orang hampir mati, ia tidak boleh berlaku dalam negara bertamadun.

Dalam keputusan susulan petisyen yang difailkan oleh aktivis, hakim mahkamah mengarahkan pemberhentian serta-merta amalan petani membakar tunggul jerami di negeri sekitar ibu negara.

Mereka mengingatkan seluruh hierarki pentadbiran dan polis, sehingga pegawai tempatan, akan bertanggungjawab sekiranya amalan itu diteruskan.

Pembakaran tunggul jerami adalah menyalahi undang-undang di India, namun ramai petani berkata mereka tidak mempunyai pilihan.

Setiap musim sejuk, asbut menyelubungi negeri utara India tatkala udara lebih sejuk memerangkap asap tunggul jerami, asap kereta, pengeluaran kilang dan abu pembinaan, mewujudkan campuran toksik yang memedihkan mata dan menyukarkan pernafasan.

Menurut laman web AirVisual, Delhi masih merupakan bandar paling tercemar di dunia hari ini di depan Kolkata di timur India dan Lahore di Pakistan. Beijing menduduki tempat keenam.

Pembakaran tunggul jerami dipercayai menyumbang kepada hampir separuh daripada pencemaran.

Empat belas bandar India termasuk ibu negara adalah antara 15 bandar paling tercemar di dunia, menurut WHO.

Satu kajian pada tahun lalu berkata satu juta penduduk India meninggal dunia lebih awal setiap tahun akibat pencemaran udara teruk. – AFP