India larang trak masuk bandar

NEW DELHI, 9 Nov – Pihak berkuasa Delhi telah mengenakan larangan ke atas trak-trak yang memasuki bandar terbesar paling tercemar di dunia itu selama tiga hari tatkala 20 juta penduduk yang tinggal di bandar itu berdepan masalah jerebu musim sejuk yang berbahaya.

Dengan tahap pencemaran udara dikategorikan sebagai ‘bahaya’, larangan ke atas hampir 40,000 buah trak muatan berat dan sederhana yang memasuki Delhi setiap hari itu mula berkuat kuasa semalam.

Kementerian pengangkutan India berkata kenderaan yang membawa makanan dan lain-lain barangan keperluan adalah dikecualikan, sementara meminta pemilik persendirian kenderaan utiliti sukan yang menggunakan minyak diesel untuk meninggalkan kereta mereka di rumah.

Pada musim sejuk, tahap kualiti udara di Delhi biasanya bertambah buruk, di mana kepulan asap menerusi pembakaran terbuka yang dilakukan oleh para petani, bergerak ke bandar dan bercampur dengan pelepasan gas perindustrian dan kenderaan, menghasilkan campuran asap yang berbahaya dan bertoksik.

Malam kelmarin, sebahagian besar penduduk Delhi tidak mengendahkan perintah yang dikeluarkan oleh sebuah mahkamah dengan meletupkan mercun yang menghasilkankan kepulan asap tebal bagi meraikan Sambutan Perayaan Deepavali, mengakibatkan tahap pencemaran udara di bandar itu memburuk. – AFP

Asap jerebu menyebabkan suasana pemandangan di sekitar istana presiden kurang jelas di Rajapath, New Delhi, kelmarin.