India lockdown 125 juta penduduk

PATNA, INDIA, 16 JULAI – Lebih 125 juta penduduk di India ditempatkan di bawah sekatan pergerakan (lockdown) baharu hari ini, ketika pembesar-pembesar negeri berkumpul di Sepanyol bagi menghormati mangsa koronavirus ketika jangkitan meningkat di seluruh dunia.

Kerajaan-kerajaan di banyak negara diarahkan untuk mengenakan semula sekatan ketika COVID-19 belum dapat dihapuskan, yang secara rasminya telah menjangkiti hampir 13.6 juta orang, mengorbankan lebih 584,000 mangsa dan melumpuhkan ekonomi global sejak ia muncul lewat tahun lalu.

Selepas India melaporkan lebih 600 kematian dalam sehari, 125 juta orang di negeri Bihar, jiran Nepal, memulakan lockdown baharu selama 15 hari bermula hari ini.

“Kami tidak pernah berdepan dengan situasi ini seumur hidup saya, ia benar-benar pengalaman menakutkan,” kata suri rumah tangga, Radhika Singh, sambil berkata di Bihar semua sekolah, kelab, kuil, dan perniagaan tidak penting telah diarahkan untuk ditutup.

Namun industri pembinaan dan pertanian dibenarkan untuk beroperasi.

Anggota polis menghentikan penunggang motosikal di jalanan selepas lockdown baharu dikenakan di Siliguri pada 16 Julai. – AFP

Sementara perkhidmatan awam ditutup, kenderaan swasta masih dibenarkan untuk beroperasi dan jalan-jalan di negeri bandar Patna dipenuhi kereta, lori, basikal dan lanca auto.

“Lockdown tidak sepenuhnya dikuatkuasakan,” kata ahli perniagaan Ranjeet Singah.

Ramai orang masih membeli makanan tanpa mempedulikan nasihat penjarakan sosial.

Kekurangan disiplin di Goa, negeri lain di India, telah mencetuskan pengumuman penutupan tiga hari bermula malam ini dan perintah berkurung malam sehingga 10 Ogos.

Ketua Menteri, Pramod Sawant berkata terlalu ramai orang ‘keluar dan bertemu di parti-parti’ dan ‘kesedaran dan sensitiviti’ masih di tahap rendah. – AFP