India luluskan perjanjian Airbus-Tata

MUMBAI, 9 SEPT – Syarikat aeroangkasa Eropah, Airbus telah memeterai perjanjian bersejarah AS$3 bilion untuk menghasilkan pesawat udara tentera untuk India dalam kerjasama bersama konglomerat Tata, menurut Kementerian Pertahanan kelmarin.

Airbus telah melobi tender itu selama sembilan tahun untuk membuat 56 buah transporter tentera bagi Pasukan Udara India.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan usaha sama itu, India akan mengimport 16 pesawat Airbus Defence and Space buatan Sepanyol dalam tempoh kontrak dua tahun.

Manakala 40 pesawat direka Airbus selebihnya itu kemudian akan dihasilkan secara tempatan oleh konglomerat India Tata kira-kira 10 tahun.

“Ini adalah projek pertama sejenisnya yang mana pesawat udara tentera akan dihasilkan di India oleh syarikat swasta,” menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Kementerian menggambarkan perjanjian itu sebagai ‘rangsangan utama’ kepada kempen kemandirian kerajaan India.

Kerajaan nasionalis India telah meningkatkan usahanya dalam beberapa tahun kebelakangan untuk mengurangkan kebergantungan negara itu ke atas import-import dan mencipta pekerjaan.

Perjanjian Airbus itu dijangka menghasilkan 600 pekerjaan penghasilan dan 6,000 lagi kerja-kerja tak langsung bagi ekonomi ketiga terbesar di Asia itu. – AFP