India mungkin kurangkan cukai import minyak sawit

NEW DELHI, 8 SEPT – India berkemungkinan besar menurunkan cukai import minyak sawit dalam usaha menstabilkan harga minyak masak pengguna di peringkat tempatan, lapor media negara itu.

Dalam laporan yang disiarkan di laman sesawangnya, Economic Times berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan duti semasa minyak sawit mentah (MSM), minyak kacang soya dan minyak bunga matahari kepada 24.75 peratus daripada 30.25
peratus pada masa ini.

“Ini merupakan langkah untuk menangani kadar inflasi makanan dan antara kaedah untuk memastikan harga kekal terkawal ketika musim perayaan,” kata media itu memetik sumber rasmi yang enggan dikenali.

Inflasi pengguna India dijangka meningkat berikutan kenaikan kos bahan api pengangkutan serta harga minyak masak.

Pada Jun lepas, kerajaan bertindak menurunkan cukai import MSM kepada 10 peratus daripada 15 peratus bagi tempoh tiga bulan, mengurangkan duti berkaitan termasuk levi pertanian dan kebajikan sosial kepada 30.25 peratus daripada 35.75 peratus.

Malah, pada bulan sama, kerajaan turut bertindak membenarkan import minyak sawit bertapis yang berkuat kuasa sehingga akhir Disember ini.

Minyak sawit dari dua negara Malaysia dan Indonesia merupakan penyumbang terbesar dari segi sumber import minyak masak India. – Bernama