‘India, Pakistan miliki 310 senjata nuklear’

NEW DELHI, 16 JUN – India dan Pakistan mempunyai sebanyak 310 senjata nuklear, namun gabungan jumlah itu masih jauh lebih kecil berbanding kekuatan ketenteraan China.

Gabungan sembilan negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Rusia, Britain, Perancis, Israel dan Korea Utara, memiliki sekitar 13,400 senjata nuklear pada awal 2020 berbanding 13,865 tahun sebelumnya, kata Institut Keamanan dan Penyelidikan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) kelmarin.

Penurunan jumlah keseluruhan senjata itu pada 2019 disebabkan penghapusan senjata nuklear yang tidak lagi digunakan oleh Rusia dan AS, yang bersama-sama memiliki lebih 90 peratus senjata nuklear global.

India mempunyai 150 kepala ledak nuklear, Pakistan 160 dan China 320.

Senjata nuklear China bertambah sebanyak 30, sementara India dan Pakistan masing-masing meningkat 10 dalam setahun.

“China berada di tengah-tengah modernisasi senjata nuklear. India dan Pakistan pula bergerak perlahan-lahan untuk meningkatkan kepelbagaian kekuatan senjata nuklear, manakala Korea Utara terus mengutamakan program nuklear tenteranya sebagai elemen utama strategi keselamatan negara,” kata SIPRI. – Bernama