India perintis kos rendah misi ke bulan

SRIHARIKOTA, 14 JULAI – India akan meningkatkan perlumbaan angkasa antarabangsa esok (Isnin) apabila misi kos rendahnya dilancarkan, sekali gus menjadi negara keempat mendaratkan pesawat di bulan.

Hanya lima hari sebelum ulang tahun ke-50 pendaratan pertama manusia di bulan, Chandrayaan-2 atau Moon Chariot 2 akan berlepas dari sebuah pulau tropika di luar negeri Andhra Pradesh selepas perancangan sedekad.

Misi itu juga akan menyerlahkan sejauh mana perjalanan angkasa mencatat kemajuan sejak Neil Armstrong mencatat sejarah terhebat manusia apabila berjaya mendarat di bulan dengan Apollo 11.

India telah membelanjakan kira-kira AS$140 juta untuk menyiapkan Chandrayaan-2 untuk perjalanan sejauh 384,400 km dari Pusat Angkasa Satawan Dhawan menuju kutub selatan bulan pada 6 September.

Amerika Syarikat membelanjakan kira-kira AS$25 bilion, bersamaan lebih kurang AS$100 bilion berdasarkan nilai semasa untuk 15 misi Apollo, termasuk enam yang mendaratkan Armstrong dan angkasawan lain di bulan.

China berjaya mendaratkan Chang’e 4 pada bulan Januari dan membelanjakan AS$8.4 bilion untuk keseluruhan program angkasa lepas pada 2017, menurut angka Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan antarabangsa.

Rusia, negara pertama mendaratkan roket tanpa manusia di bulan pada 1966, menghabiskan lebih AS$20 bilion berdasarkan nilai hari ini untuk misi ke bulan antara tahun 1960an dan 70an.

India akan menggunakan peluncur roket paling kuat, GSLV Mk III, untuk membawa orbiternya seberat 2.4 tan yang mempunyai jangka hayat sekitar setahun.

Kapal angkasa itu akan membawa pendarat Vikram seberat 1.4 ton yang kemudian membawa Pragyan seberat 27 kilogram ke sebuah dataran tinggi antara dua kawah di Kutub Selatan bulan. – AFP

Kapal angkasa misi ke bulan India, ‘Chandrayaan-2’ melibatkan sebuah kapal pendarat, orbiter dan perayau. – AFP