NEW DELHI, 2 FEB – India, kelmarin telah memperuntukkan 5.25 trilion rupee (kira-kira AS$70.1 bilion) kepada Kementerian Pertahanannya dalam pembentangan bajet negara 2022 hingga 2023.
Lebih daripada AS$20 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan modal, termasuk pembelian senjata dan peralatan.
Sektor pertahanan India itu menerima suntikan AS$65.4 bilion dalam bajet 2021 hingga 2022.
India komited mengurangkan import dan menggalakkan keyakinan terhadap senjata buatan tempatan untuk tentera, kata Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman dalam pembentangan bajetnya di Parlimen.
Dalam pelan rangsangan terhadap pembuatan senjata ketenteraan tempatan, 68 peratus daripada bajet perolehan modal akan diperuntukkan bagi industri domestik pada 2022-2023 berbanding hanya 58 peratus pada 2021-2022. – Bernama