India rai Hari Yoga Antarabangsa

NEW DELHI, 21 JUN – India menyambut Hari Yoga Antarabangsa dengan acara sederhana ketika negara bergelut dengan koronavirus, namun Perdana Menteri Narendra Modi berkata krisis itu telah menjadikan amalan purba tersebut lebih relevan.

Acara tahunan – yang dicadangkan oleh Modi dan diadaptasi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2014 – telah diraikan terutama di India, namun juga di seluruh dunia pada hari terpanjang di Hemisfera Utara.

Ketika krisis virus itu memaksa pengamalnya untuk meraikan acara itu dalam kawasan tertutup atau dengan sesi terbuka kecil-kecilan, Modi – yang gemar melakukannya sendiri – menyeru orang ramai untuk mengumpul kekuatan daripada kebaikan latihan fizikal dan mental.

“Disebabkan pandemik koronavirus, dunia menyedari keperluan yoga sekarang lebih banyak lagi,” kata Modi dalam Bahasa Hindi dalam satu ucapan video yang dikongsi dalam media sosial hari ini.

“Virus COVID-19 menyerang sistem pernafasan kita. Pranayam (latihan pernafasan) membantu menjadikan sistem pernafasan kita lebih kuat,” ujarnya. – AFP

Kakitangan Kesihatan dari Hospital Jitendra Narayan Roy melakukan postur yoga di teres bangunan hospital untuk meraikan Hari Yoga Antarabangsa di Kolkata pada 21 Jun. – AFP