NEW DELHI, 23 OKT – Secara keseluruhan kualiti udara di ibu kota India, New Delhi telah menurun kepada kategori ‘teruk’, menurut data yang ditunjukkan oleh Sistem Kualiti Udara dan Ramalan dan Penyelidikan Cuaca, hari ini.
Beberapa buah kawasan di dan sekitar New Delhi kekal berada dalam kategori ‘sangat teruk’, menurut data tersebut.
Ia meramalkan kualiti udara di New Delhi akan terus berada dalam kategori ‘teruk’ dan ‘sangat teruk’ sehingga perayaan Diwali, yang akan diraikan pada Isnin yang disambut dengan membakar mercun.
Walau bagaimanapun, membakar mercun dilarang di ibu kota India. Mahkamah tinggi negara itu baru-baru ini enggan mendengar rayuan yang meminta menghapuskan larangan membakar mercun di Delhi bagi perayaan Diwali.
Laporan dari India Today berkata kualiti udara berkemungkinan menurun ke kategori ‘sangat teruk’ menjelang Isnin.
Kepulan asap dapat dilihat di Delhi dan kawasan sekitarnya sejak beberapa hari kebelakangan.
Tahap tertinggi pencemaran udara yang pernah disaksikan di ibu kota India adalah semasa musim sejuk antara bulan Oktober hingga Februari.
Aktiviti-aktiviti pembinaan dan penghapusan, pembakaran yang dilakukan oleh petani-petani dari negeri Haryana dan Punjab, dan pencemaran dari kenderaan merupakan antara sebab-sebab pencemaran udara di New Delhi. – Xinhua