India sasar eksport bernilai AS$46 bilion ke ASEAN

NEW DELHI, 25 OGOS – India menyasarkan untuk meraih eksport barangan bernilai AS$46 bilion ke rantau ASEAN dalam tahun kewangan semasa pada April hingga Mac, demikian menurut Kementerian Perdagangannya hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangannya, Anupriya Patel berkata nilai eksport kejuruteraan dijangka mencecah sekitar AS$16 bilion bagi tempoh 2021-2022 dengan negara-negara Asia Tenggara menyumbang sebanyak 15 peratus dalam kategori tersebut.

ASEAN merupakan destinasi eksport ketiga terbesar bagi produk-produk kejuruteraan India selepas Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Utara.

Menurut kementerian itu, Singapura dan Malaysia merupakan pengimport utama dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN tersebut.

Bagi tempoh 2019-2020, eksport India ke ASEAN bernilai AS$31.5 bilion manakala import sebanyak AS$55.3 billion. – Bernama