India sudah jatuh ditimpa tangga

NEW DELHI, 31 JULAI – India hari ini umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila angka kematian akibat COVID-19 melepasi 35,000 kes, mengatasi Itali dan dalam masa yang sama, bencana alam banjir turut menjejaskan jutaan penduduk, menagih 350 korban.

India mencatatkan 779 kematian baharu dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Kementerian Kesihatannya, menjadikan angka kematian keseluruhan meningkat kepada 35,747 orang.

Berdasarkan statistik AFP, India berada di tempat kelima selepas Amerika Syarikat, Brazil, Britain dan Mexico yang mencatatkan kes kematian tertinggi koronavirus itu.

Pakar bagaimanapun mengesyaki angka kematian dan kes virus di negara itu kemungkinan lebih tinggi kerana pihak berkuasa tidak menjalankan ujian saringan ke atas lebih ramai penduduk, selain kes kematian tidak direkodkan secara sistematik.

Satu kajian yang dibuat pada minggu ini bagi menguji antibodi koronavirus melaporkan 57 peratus penduduk mempunyai jumlah jangkitan jauh lebih tinggi daripada rekod rasmi yang dikeluarkan.

Minggu lalu, kajian seumpamanya menunjukkan hampir suku daripada penduduk di bandar raya New Delhi dijangkiti COVID-19 dengan angka sebenar 40 kali ganda lebih tinggi berbanding data rasmi.

Dalam pada itu, banjir akibat monsun tahunan di bahagian timur dan timur laut India turut menghalang usaha menghentikan penyebaran virus berkenaan.

Di negeri termiskin di India, Bihar yang mempunyai 125 juta penduduk dan turut melaksanakan sekatan pergerakan, kira-kira 11 orang dilaporkan terkorban akibat banjir, manakala 25,000 penduduk lagi ditempatkan di kem perlindungan. – AFP

Seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung berdiri dalam hujan di Prayagraj, India. India hari ini bukan sahaja mengatasi Itali dalam kematian COVID-19, malah berhadapan bencana alam mengakibatkan banjir yang menjejaskan jutaan penduduknya. –AP