Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    India tangkap ‘doktor’ kahwin 18 wanita

    NEW DELHI, 21 FEB – Bibhu Prakash Swain percaya tentang jodoh dan cinta sejati, itulah kata-kata ‘manteranya’ kepada kira-kira 18 wanita yang dikahwininya dan ditipunya di seluruh India sebelum ditangkap – beberapa minggu menjelang dua majlis perkahwinannya yang lain.

    Lelaki berusia 67 tahun itu melayari laman web perkahwinan dan menyamar sebagai doktor berusia 51 tahun dan memujuk profesor, peguam, doktor dan seorang pegawai separa tentera di ke semua negeri untuk berkahwin dengannya, kata polis.

    Di India yang terkenal memilih darjat, dia mengaku mendapat gaji besar dan menggunakan kad pengenalan palsu serta surat lantikan untuk meyakinkan lagi bukti dan latar belakang keluarga.

    “Dia melakukannya hanya untuk mendapatkan wang mereka dan keseronokan seksual,” kata pegawai polis kanan, Sanjiv Satpathy kepada AFP.

    Pasukan Satpathy menangkap Swain baru-baru ini selepas berbulan-bulan menjejakinya, menemukannya dengan identiti berlainan, akaun bank dan merancang dua perkahwinan pada Februari dan Mac.

    “Dia pandai meyakinkan mangsa, dan hanya menyasarkan wanita bujang, balu atau janda dalam usia 40an,” kata Satpathy.

    Menurut polis, Swain juga menggunakan alasan untuk meminjam wang dan barangan kemas isteri baharunya untuk membantunya dalam saat-saat kecemasan.

    Dia kemudian bergerak pada sasaran seterusnya, berharap keadaan wanita – sebagai bujang, janda atau balu yang berkahwin semula dalam masyarakat konservatif – akan menakutkan mereka untuk melaporkannya kepada polis.

    Para penyiasat percaya Swain berkahwin lebih 18 kali dan kini sedang menyiasat rekod telefon bimbit tempatnya menyimpan nombor telefon isteri-isterinya – seperti Madam Delhi, Madam Assam atau Madam UP (Uttar Pradesh) – dinamakan sempena lokasi di India tempat mereka menetap.

    Polis melancarkan siasatan ke atas Swain pada Mei 2021 selepas menerima aduan daripada salah seorang isterinya berusia 48 tahun, yang mendapati dia sudah berkahwin dengan kira-kira tujuh wanita lain.

    Swain berasal dari sebuah kampung di timur negeri Odisha, pertama kali berkahwin pada 1978 dan mempunyai tiga anak – dua daripadanya doktor dan seorang doktor pergigian – bersama isteri pertama.

    Akhbar The Hindustan Times melaporkan lelaki yang hanya berketinggian lima kaki, dua inci itu, dilaporkan telah mengahwini 27 wanita di 10 negeri dan dipercayai telah menipu 13 bank sebanyak 10 juta rupee (AS$135,000) dengan memalsukan 128 kad kredit, selain menjalankan makmal perubatan di mana doktor dan kakitangan lain tidak dibayar gaji selama beberapa bulan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...