India taruhan Amazon di Asia

HYDERABAD, 11 SEPT – Dengan 49 lif dan kelas zumba untuk lebih 15,000 pekerjanya, ibu pejabat baharu Amazon di India akan menjadi bangunan terbesar di dunia sepadan dengan cita-citanya untuk menguasai pasaran yang luas dan mencabar.

Gergasi runcit AS itu melancarkan laman web pertamanya di negara Asia Selatan dengan populasi 1.3 bilion tersebut pada 2013 tetapi bersaing sengit dengan Walmart yang membeli 77 peratus saham raksasa e-dagang setempat Flipkart dengan AS$16 bilion tahun lepas.

“Untuk Amazon, India adalah geografi yang sangat penting,” kata Pengarah Sumber Manusia firma India dan Timur Tengah, Deepti Varma kepada AFP di bangunan pejabat setinggi 86-meter yang berkilauan di hab teknologi selatan Hyderabad.

Walaupun prospek kejayaan di negara yang luas mengujakan, risikonya juga tinggi dengan Amazon dan Flipkart menyebabkan kerugian besar ketika mereka mengembangkan dan berusaha untuk memasuki pasar baharu dalam ekonomi ketiga terbesar di Asia itu.

Kedua-dua firma itu juga akan menghadapi persaingan sengit dari konglomerat India, Reliance Industries yang diketuai oleh lelaki terkaya di Asia, Mukesh Ambani yang sedang bersedia untuk berdepan kedua-dua syarikat AS dengan platform e-dagang sendiri. Rintangan birokrasi juga bakal memberikan cabaran selanjutnya.

Gambar fail yang diambil pada 21 Ogos 2019 menunjukkan bangunan kampus baharu terbesar Amazon di Hyderabad. – AFP

Peraturan e-dagang baharu yang berkuat kuasa Februari lalu mengharamkan syarikat-syarikat seperti Amazon daripada menjual produk daripada firma di mana mereka mempunyai kepentingan. Selain itu, mereka juga dilarang memasuki transaksi eksklusif dengan penjual.

Pengawalan dibawa masuk selepas peruncit bata dan mortar mengadu e-tailers menjual produk secara tidak adil dengan harga diskaun.

“Melangkah ke hadapan, cabaran lebih kepada peraturan dan bagaimana mengemudikan dasar persekitaran dan pengawalseliaan,” kata Ankur Bisen dari firma perunding Technopak yang berpengkalan di Delhi kepada AFP. “Kami telah melihat bagaimana beberapa pengumuman dasar telah menimbulkan masalah.”

Amazon telah memperuntukkan dana pelaburan sebanyak AS$5 bilion untuk India, di mana satu daripada tiga orang menggunakan internet. Angka itu diramalkan meningkat sebanyak AS$300 juta menjelang 2020 disebabkan penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat.

Jualan e-dagang India dijangka meningkat tiga kali ganda antara sekarang hingga 2022 dan mungkin melepasi paras AS$100 bilion, menurut penyelidikan terbaharu badan industri NASSCOM dan PricewaterhouseCoopers. – AFP