India tepis dakwaan Pakistan

NEW DELHI, 6 Mac – New Delhi menolak laporan yang mengatakan sebuah kapal selam India cuba menyusup masuk ke perairan Pakistan, menganggap dakwaan itu sebagai ‘maklumat salah’, menurut para pegawai pertahanan negara itu.

“Seperti yang dinyatakan semasa Sidang Media Bersama pada 28 Februari lalu, tentera laut India akan tetap mengerahkan asetnya sekiranya perlu untuk melindungi Kepentingan Maritim Kebangsaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera laut India.

“Sejak beberapa hari lalu, kami telah menyaksikan Pakistan telah beberapa kali mengeluarkan propaganda dan menyebarkan maklumat yang salah.”

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada satu rakaman video yang dikeluarkan oleh Pakistan dalam apa yang didakwa oleh negara itu kapal selam milik India yang cuba memasuki perairan negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera laut Pakistan, kelmarin, pihaknya telah menggunakan kemahiran khas untuk menghalau keluar kapal berkenaan dan berhasil menjauhkan kapal itu dari memasuki perairan Pakistan.

Ketegangan antara New Delhi dan Islamabad meningkat susulan serangan udara yang dilancarkan India di dalam kawasan Pakistan, di mana tindakan tersebut telah mencetuskan satu tindakan balas. – Xinhua