India terus jadi halangan besar

KUALA LUMPUR, 6 JUN – Juara bertahan, India sekali lagi akan menjadi ancaman terbesar Malaysia bagi acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom, bulan hadapan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata skuad kebangsaan yang merupakan pemenang pingat perak pada edisi Gold Coast 2018, pastinya akan bekerja keras bagi merampas emas dari India yang menjadi pilihan utama mengungguli acara tersebut dalam temasya empat tahun sekali tersebut.

Di atas kertas, India kelihatan lebih kuat pada ketika ini memandangkan mereka boleh menyandarkan harapan kepada pemain lelaki seperti Lakshya Sen selain beregu utama, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty bagi membantu mereka untuk mempertahankan pingat emas.

Kesemua pemain tersebut membantu India mencipta sejarah menjulang Piala Thomas buat julung kali di Bangkok pada Mei lalu.

India juga boleh bergantung harap kepada pemain wanita utama mereka, Pusarla V Sindhu yang ketika ini menduduki ranking ketujuh dunia, jika ia memutuskan untuk menyenaraikan pemain itu dalam temasya tersebut.

Walaupun BAM belum mengumumkan skuad terakhirnya, menilai daripada hasrat Rexy yang mahu menghantar hanya pemain terbaik ke Birmingham, Malaysia perlu menyerapkan pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia, pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta beregu wanita nombor 10 dunia, Pearly Tan dan M Thinaah bagi menguatkan cabaran di Birmingham. – Bernama