India tuan rumah Sidang Kemuncak G20 pada 2023

NEW DELHI, 23 NOV – India bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak G20 buat julung kalinya pada 2023 selepas Indonesia yang akan menganjurkannya pada 2022.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyertai mesyuarat G20 ke-15 pada 21-22 November yang dihoskan Arab Saudi secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi kerana berjaya menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Riyadh dan sumbangannya kepada proses G20. Kami menantikan pertemuan berikutnya di Itali pada 2021, Indonesia 2022, India 2023 dan Brazil 2024,” menurut deklarasi G20 pada  Ahad .

India pada awalnya dijadualkan menganjurkan mesyuarat kumpulan yang mewakili 20 negara ekonomi utama dunia itu pada 2022, menurut kenyataan rasmi dikeluarkan pada sidang kemuncak 2019 di Jepun. – Bernama