India, UK bakal lancar projek grid solar global

NEW DELHI, 1 NOV – India dan United Kingdom (UK) akan melancarkan satu projek yang dihasratkan untuk menubuhkan grid solar yang menyambungkan negara-negara di bahagian lain di dunia pada rundingan iklim PBB di Glasgow, Scotland.

Projek itu yang dikenali sebagai ‘Inisiatif Grid Hijau’, telah diperkenalkan oleh Perikatan Solar Antarabangsa (ISA), yang telah dilancarkan oleh India dan Perancis semasa persidangan iklim Paris 2015 untuk mempromosi tenaga solar.

UK dan India bersetuju untuk menyertai pakatan dalam inisiatif itu pada Mei tahun ini.

Walaupun tenaga solar menjadi lebih murah daripada alternatif kotor, negara-negara tidak dapat bergantung ke atasnya pada waktu malam dan harus kembali semula kepada bahan api yang menghasilkan gas-gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan bumi.

Kes seperti ini terutamanya berlaku di negara-negara seperti India, di mana permintaan untuk bekalan kuasa telah meningkat.

Ajay Mathur semasa bercakap kepada agensi AP di pejabatnya di New Delhi, India pada 27 Oktober. – AP

Projek baharu itu berdasarkan kepada idea yang matahari sentiasa cerah di beberapa bahagian di dunia, dan projek itu dihasratkan untuk mencipta grid global yang akan memindahkan kuasa matahari dari satu tempat ke tempat lain, kata Ajay Mathur, ketua pengarah ISA.

“Contohnya, apabila ia gelap di timur Asia, ia masih lagi terang di India…jika adanya kabel antara India dan timur Asia, elektrik solar boleh dibekalkan ke timur Asia,” katanya.

Idea mengenai grid merentangi rantau-rantau bukan sesuatu yang baharu, namun ini adalah percubaan pertama untuk mewujudkan satu rangkaian global. Beberapa pakar mengkaji projek itu sebagai tindak balas India ke atas inisiatif infrastruktur Jalur dan laluan China.

Mathur mengatakan anggara menunjukkan dalam tempoh tiga tahun, tenaga solar akan menjadi lebih murah sama seperti kuasa dari bahan api, yang menjadikan ia lebih mudah untuk membina loji tenaga solar baharu dan kemudahan penyimpanan.

Tetapi, ia memerlukan negara-negara dengan keutamaan berlainan untuk mencapai persetujuan kompleks. – AP