BHUBANESWAR, India, 2 Mei – Hampir 800,000 orang di timur India telahpun dipindahkan dari kawasan yang berada dalam haluan siklon utama dengan kelajuan angin sehingga 200 kilometer sejam dan hujan lebat, kata pegawai hari ini.
Perkhidmatan cuaca India berkata Ribut Siklon Paling Kuat Fani dijangka mendarat pada tengah hari esok di negeri Odisha dan menuju ke kawasan timur laut dalam haluan berhampiran tempat tinggal lebih daripada 100 juta orang.
Seorang pegawai jabatan bantuan negeri memberitahu AFP bahawa 780,000 orang telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat semalaman daripada sekurang-kurangnya 13 daerah Odisha, tempat tinggal kira-kira 46 juta orang, yang akan menerima kesan paling teruk sistem cuaca berkenaan.
“Kami menjangka lebih satu juta penduduk berpindah keluar dari zon bahaya dalam tempoh 12 jam akan datang,” beritahu Bishnupada Sethi, Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha, kepada AFP. Kira-kira 3,000 tempat perlindungan di sekolah dan bangunan kerajaan telah pun didirikan untuk menempatkan lebih satu juta orang. Lebih daripada 100,000 paket makanan kering bersedia untuk digugurkan sekiranya diperlukan, kata laporan.
Semalam, ribut itu, yang dikatakan oleh laporan merupakan yang terbesar yang melanda kawasan timur India dalam hampir dua dekad, sedang bergolak di Teluk Bengal kira-kira 250 kilometer dari luar pesisir dan bergerak dengan perlahan tetapi menuju ke kawasan barat.
Siklon itu dijangka membawa angin dengan kelajuan 180-190 ksj, membawa angin kencang dengan kelajuan bersamaan dengan kekuatan hurikan Kategori 3 dan 4.
Ia dijangka mendarat berhampiran bandar suci Hindu Puri, tempat pelancong utama yang menarik berjuta-juta penduduk India dan pelawat asing setiap tahun. Lebih daripada 100 buah kereta api telah pun dibatalkan dalam tempoh 48 jam lalu, menurut satu kenyataan oleh Indian Railways. Tiga buah kereta api khas beroperasi dari Puri untuk memindahkan jemaah dan pelancong. – AFP