IndiGo, Qatar Airways meterai perjanjian

NEW DELHI, 7 NOV – Firma IndiGo mengumumkan perjanjian perkongsian kod dengan Qatar Airways hari ini, beberapa hari selepas menempah 300 buah kapal terbang Airbus, tatkala syarikat penerbangan tambang murah itu merangsang cita-cita luar negara dan syarikat penerbangan Teluk untuk menembusi pasaran domestik yang berkembang pesat.

Perjanjian itu akan membenarkan Qatar Airways meletakkan penumpangnya dalam penerbangan syarikat penerbangan India di antara Doha dan Delhi, Mumbai dan Hyderabad.

Industri penerbangan India telah melihat pertumbuhan besar dalam beberapa tahun ini, mencatat satu pertambahan 18 peratus dalam jumlah penerbangan pada 2018 dengan hampir 140 juta penumpang terbang dalam negara.

IndiGo, yang menempah 300 pesawat udara A320neo bernilai lebih AS$33.2 bilion pada akhir Oktober, adalah syarikat penerbangan kos murah terbesar di negara Asia Selatan dengan kira-kira 47 peratus saham pasaran tempatan.

Namun syarikat penerbangan itu telah dibelenggu perbalahan pentadbiran korporat di antara pengasas Rakesh Gangwal dan Rahul Bhatia yang telah mencetuskan kebimbangan pelabur. Saham dalam syarikat induk IndiGo InterGlobe Aviation mening-kat dua peratus di Mumbai selepas pengumuman itu.

Perjanjian perkongsian kod mungkin mewujudkan ‘pergabungan pada masa depan,’ beritahu editor laman web Bangalore Aviation, Devesh Agarwal kepada AFP.

Qatar Airways berminat untuk menembusi pasaran yang berkembang pesat tetapi tidak dibenarkan memulakan syarikat penerbangan baharu di India disebabkan peraturan pemilikan tempatan. – AFP