IndiGo terus berjuang perangi kesan pandemik

MUMBAI, 11 OGOS – Syarikat penerbangan terbesar di India, IndiGo berharap dapat mengumpulkan AS$534 juta untuk menerbitkan saham bagi meningkat kecairan selepas berdepan dengan wabak koronavirus yang telah melenyapkan pekerjaan dan menjejaskan prestasi pertumbuhan syarikat.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia melaporkan penurunan pendapatan yang tinggi selepas permintaan berkurangan ketika kerajaan mengenakan sekatan perjalanan untuk memerangi COVID-19.

IndiGo bulan lalu melaporkan kerugian tertinggi sebanyak 28.49 bilion rupee (AS$382 juta) untuk suku yang berakhir pada 30 Jun, dan mengatakan ia akan mengurangkan 10 peratus kakitangannya. Syarikat induk Interglobe Aviation mengumumkan pada lewat kelmarin bahawa lembaga pengarahnya telah meluluskan penerbitan saham untuk menaikkan 40 bilion rupee (AS$534 juta).

Pandemik tersebut telah memberi tamparan hebat kepada industri penerbangan India, yang telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa dalam beberapa tahun terakhir.

Dalam pada itu, badan industri IATA pula memperingatkan bulan lalu bahawa lalu lintas udara global tidak akan kembali ke tahap pra-pandemik hingga tahun 2024, setahun kemudian dari perkiraan sebelumnya. Syarikat penerbangan India yang lain, GoAir dan SpiceJet juga berjuang untuk menguruskan kewangan mereka dan membuat rundingan semula kontrak dengan pemilik pesawat. – AFP