‘Individu diuji, sakit perlu asingkan diri’

MELBOURNE, AUSTRALIA, 22 JULAI – Negeri Australia yang teruk terjejas akibat pandemik koronavirus, Victoria, melaporkan lebih daripada 500 kes COVID-19 baharu hari ini dengan pihak berkuasa kesihatan memberi amaran bahawa jumlah jangkitan berkemungkinan akan terus meningkat.

Perdana Menteri Victoria Daniel Andrews mengatakan bahawa individu yang jatuh sakit perlu melakukan pengasingan diri.

Dia mengatakan sembilan daripada 10 orang tidak mengasingkan diri semasa mengalami gejala atau selepas menjalani ujian koronavirus.

Andrews juga mengumumkan dua lagi kematian, kedua-dua lelaki berusia 90an, menjadikan angka kematian kebangsaan kepada 128 orang.

Penutup mulut dan hidung akan diwajibkan mulai hari Khamis bagi penduduk di kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan ketika meninggalkan rumah mereka.

Enam penjara di Victoria telah dimasukkan ke dalam senarai kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan kelmarin setelah seorang kakitangan diuji positif di salah satu kemudahan yang sesak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Perubatan Australia Michael Kidd berkata jumlah jangkitan hari ini menunjukkan seberapa cepat wabak itu boleh merebak.

Dengan bandar kedua terbesar di Australia, Melbourne, yang kini berada dalam sekatan pergerakan selama dua minggu, pihak berkuasa berharap kadar jangkitan akan mulai menurun.

“Sudah tentu kita kini berada dalam fasa pandemik yang sangat mencabar,” kata Ketua Pegawai Kesihatan Brett Sutton.

“Kita juga tidak boleh meramalkan kadar jangkitan ini akan turun. Saya rasa itu akan menjadi cabaran yang lebih besar pada hari-hari mendatang.

“Ini bermakna kita akan melihat 500 hingga 600 kes setiap hari. Saya sama sekali tidak mahu kita akan berdepan dengan situasi tersebut,” tambah Sutton. – AP

Pejalan kaki yang berada di kawasan pusat perniagaan di Australia dilihat menggunakan penutup mulut dan hidung bagi mengekang penularan wabak koronavirus, kelmarin. Victoria, melaporkan lebih daripada 500 kes COVID-19 baharu dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah jangkitan berkemungkinan akan terus meningkat. – AP