Individu kod ungu tular berada di pusat suntikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Orang ramai tidak perlu berasa cemas berhubung dengan maklumat tular yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai kod ungu telah berada di Pusat Suntikan Stadium Tertutup.

Individu berkenaan memang negatif dan dalam keadaan yang sihat, Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memberi jaminan mengenai hal itu semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, perkara itu sudah disiasat dan siasatan juga mendapati, individu berkenaan sudah keluar dari pusat pengasingan pada 10 September dan telah disahkan sembuh.

“Pihak kementerian membuat siasatan lebih lanjut berhubung dengan kod BruHealth individu berkenaan,” jelasnya.

Mengulas persoalan mengenai pesakit yang mengalami Long COVID, Yang Berhormat Dato berkata, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, paru-paru bekas pesakit mengalami kerosakan jangkitan akibat COVID-19.

Walaupun ia tidak lagi positif, jelasnya, bahagian paru-paru mereka telah mengalami kerosakan dan ia mengambil masa untuk badan mereka memperbaiki paru-paru yang telah rosak akibat COVID tersebut sehingga mereka merasakan susah untuk bernafas.