Individu masuk S’wak masih perlu mohon EnterSarawak

KUCHING, 10 OKT – Sarawak membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 memasuki negeri itu tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu membuat permohonan dalam laman EnterSarawak.

“Selain itu, mereka harus sertakan bukti status ‘lengkap vaksinasi’ dan keputusan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) atau Rapid Antigen (RTK-Ag) negatif (sah untuk tiga hari sahaja) serta lain-lain maklumat peribadi yang berkaitan,” menurut JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini sebanyak 1,132 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sarawak menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri itu kini 224,639.

Selain itu, tiga kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak dari 2 hingga 8 Okt. – Bernama