Individu positif COVID-19 tidak bergejala tiada potensi sebar jangkitan

PUTRAJAYA, 31 MEI – Individu yang positif COVID-19 tetapi tidak mempunyai gejala, tidak mempunyai potensi untuk menjangkiti orang lain kerana mempunyai ‘muatan virus’ yang rendah berbanding mereka yang bergejala. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kebolehjangkitan akan terjadi dua hari sebelum individu yang mempunyai virus itu mendapat gejala.

“Jadi kita kena bezakan yang tidak ada gejala ini tidak ada masalah kerana tidak ada kebolehjangkitan tetapi kalau mereka mendapat gejala dan tempoh dua hari sebelum mendapat gejala itu mereka boleh menjangkiti orang lain, itu yang kita dapati,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata minggu pertama bergejala adalah minggu yang aktif untuk virus itu menjangkiti orang lain tetapi jika individu itu diasingkan untuk tempoh lapan ke 10 hari atau 14 hari seperti yang dilaksanakan kerajaan sekarang ini, kebolehjangkitan boleh dikurangkan atau hampir sifar. – Bernama