Thursday, December 7, 2023
27.5 C
Brunei

    -

    Akibat buang sampah, 23 kena kompaun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Seramai 20 individu dan tiga buah syarikat telah dikenakan kompaun berjumlah $4,100 keseluruhannya kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 iaitu membuang sampah di tempat awam dan laluan awam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), di sini, kompaun berkenaan merupakan hasil Operasi Bersih 18/2023, 19/2023 dan 20/2023 yang diadakan pada September dan Oktober lalu.

    Dalam kes-kes berkenaan, individu-individu dan syarikat-syarikat itu adalah dikehendaki menjelaskan kompaun masing-masing ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jalan Perdana Menteri dalam tempoh tujuh hari.

    Menurut pindaan di bawah Perintah Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021, kadar kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan ialah tidak melebihi $ 1,000 bagi individu dan tidak melebihi $ 2,000 bagi badan-badan korporat.

    Sementara itu, bagi yang gagal menjelaskan kompaun dan diambil tindakan melalui mahkamah, jika sabit kesalahan, individu-individu boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $ 3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $ 3.000 dan tidak melebihi $ 9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala itu, bagi badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $ 30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, JBBSB mengingatkan mana-mana individu dan pemilik atau penyewa bangunan untuk sama-sama menjaga aspek keindahan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan Bandar Seri Begawan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan perkongsian maklumat yang berkaitan boleh menyalurkannya terus ke talian e-Darussalam 123, WhatsApp di talian 8333123, hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang (BPU JBBSB) di talian 7291122.

    Bahan buangan yang diletakkan di tempat awam. – Gambar serahan BPU JBBSB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Rekrut warga Nepal dalam tentera Rusia, 12 ditahan

    KATHMANDU, 6 DIS – Polis Nepal mengumumkan hari ini mereka telah menahan 12 orang yang dituduh menghantar lelaki muda Nepal secara haram untuk direkrut...