Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Individu tidak dikenali rentas sempadan ke Korea Utara

    SEOUL, 2 JAN – Seorang individu yang tidak dikenali telah memasuki Korea Utara dari Korea Selatan pada Tahun Baharu, menurut kenyataan pihak tentera di Seoul hari ini, kejadian pencerobohan yang jarang berlaku di sempadan yang dikawal ketat antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

    Penindasan dan kemiskinan selama bertahun-tahun di Korea Utara telah menyebabkan lebih 30,000 orang melarikan diri ke Korea Selatan dalam masa berdekad-dekad sejak Perang Korea, namun penyeberangan ke arah bertentangan adalah sesuatu yang jarang berlaku.

    Individu itu dikesan oleh peralatan pemantauan di Zon Bebas Tentera – yang membahagikan Semenanjung Korea – pada pukul 9:20pm waktu tempatan, kelmarin, menurut Ketua Staf Bersama (JCS) Korea Selatan hari ini.

    Ia menyebabkan pihak tentera menjalankan operasi mencari, namun tidak berjaya.

    “Kami ingin mengesahkan seorang individu telah menyeberang Sempadan Pembatasan Tentera memasuki bahagian utara,” tambahnya.

    Anggota tentera mengawal sempadan Korea Utara dan Korea Selatan di Paju. Tentera Korea Selatan berkata seorang individu tidak dikenali menyeberang sempadan yang dikawal ketat dari Korea Selatan memasuki Korea Utara. – AP

    Individu tersebut masih belum dikenal pasti, menurut pegawai JCS kepada wartawan, dan menambah pihak berkuasa Korea Selatan telah menghantar pesanan kepada Korea Utara hari ini mengenai insiden tersebut.

    Tiada aktiviti luar biasa oleh pihak tentera Korea Utara telah dikesan, katanya.

    Pada 2020, tentera Korea Utara menembak mati dan membakar mayat nelayan Korea Selatan yang mana menurut pegawai Pyongyang mereka menyeberang secara haram di sempadan maritimnya.

    Pada tahun yang sama, seorang warga Korea Utara yang dikesan di Korea Selatan tiga tahun sebelumnya kembali memasuki sempadan yang dikawal ketat secara sembunyi-sembunyi.

    Tindakan individu tersebut telah menyebabkan pegawai Korea Utara untuk melaksanakan perintah berkurung ke atas bandar Kaesong kerana ditakuti dia dijangkiti koronavirus.

    Kebanyakan rakyat Korea Utara akan melarikan ke China terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan ke Korea Selatan, melalui negara lain. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...