KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSI) mengakui skuad sepak takraw wanita negara itu telah melakukan kesilapan besar berhubung tindakan meninggalkan gelanggang semasa perlawanan menentang Malaysia, semalam.
Timbalan Presiden PSI, H. Syafrizal Bakhtiar berkata tindakan jurulatih serta pemainnya itu kerana terlalu beremosi dan rasa kekecewaan terhadap wasit (pengadil) yang bertugas.
“Namun setelah meneliti dan melihat semula data dan video ulangan, ternyata tekong kami telah mengangkat kaki sewaktu melakukan servis dan ia adalah satu kesalahan.
Ketika itu jurulatih, pemain dan barisan pengurusan kami hanya melihat dari mata kasar dan kami telah melakukan kesilapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Syafrizal, beliau yang bertindak sebagai pengurus pasukan semalam cuba memujuk jurulatihnya untuk tidak meninggalkan gelanggang namun disebabkan perlawanan yang ‘panas’, hal yang kecil pun boleh menjadi besar.
“Saya sebagai pengurus pasukan sudah berusaha untuk mengikuti regulasi bahawa kami tidak boleh melakukan protes besar dan hanya boleh membuat bantahan mengikut undang-undang ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan menggunakan prosedur yang betul.
“Tetapi kerana sudah tidak terbendung pada waktu itu, kami melakukan juga ‘keluar gelanggang’ dan kami kesal serta memohon maaf atas kesilapan yang kami lakukan itu,” katanya. – Bernama