JAKARTA, 1 NOV – Pihak berkuasa Indonesia telah membatalkan lesen dua buah syarikat farmaseutikal yang mengeluarkan ubat batuk jenis sirap berikutan kematian 159 orang kanak-kanak akibat kecederaan buat pinggang akut, menurut pegawai hari ini.
Ketua Agensi Pemantauan Makanan dan Ubat-ubatan (BPOM), Penny Lukito berkata ia telah mendapati bahawa PT Yarindo Farmatama dan PT Universal Pharmaceutical Industries telah menukar pembekal propilena glikol, komponen sirap, dan jenis yang mereka gunakan telah tercemar dengan bahan kimia lain.
“Jika melakukan sebarang perubahan, ia perlu dilaporkan kepada BPOM,” kata Lukito. Dalam kes ketidakpatuhan, syarikat-syarikat farmaseutikal ‘berdepan dengan sekatan pentadbiran dalam bentuk pemberhentian pengeluaran, pengedaran, penarikan semula dan pemusnahan,” kata Lukito.
Agensi dan polis kebangsaan mendapati kedua-dua buah syarikat telah menggunakan propilena glikol sebagai bahan mentah dalam penghasilan ubatan sirap. Sirap, yang sering diminum oleh kanak-kanak, mengandungi jumlah etilena glikol dan dietilena glikol yang berlebihan.
Dapatan tersebut berdasarkan temu bual dengan kakitangan syarikat dan pemeriksaan ke atas dokumen, kemudahan dan produk yang digunakan oleh syarikat terbabit.
Dua bahan kimia itu sering digunakan dalam aplikasi industri dan cecair antibeku dan brek.
Lukito berkata BPOM akan meneruskan dakwaan jenayah ke atas syarikat-syarikat tersebut.
“Pelaku berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum AS$64,000,” kata Lukito.
Pencemaran itu disyaki menjadi punca peningkatan kes kerosakan buah pinggang pada kanak-kanak sejak penghujung Ogos. – AFP