Indonesia batal hantar jemaah haji 1441H

JAKARTA, 2 JUN – Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia, memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji bagi tahun 1441H.

Menteri Agama Indonesia Facrul Razi dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat berikutan pandemik COVID-19 ketika ini masih mengancam penduduk seluruh dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Pada tahun lepas, kuota jemaah haji dari Indonesia berjumlah lebih 231,000 jemaah.

“Selain soal keselamatan, kebijakan (dasar) ini diambil kerana, hingga saat ini Arab Saudi masih belum membuka akses layanan Penyelenggaraan Ibadah Haji 1441H/2020M.

“Akibatnya, pemerintah Indonesia (pasti) tidak memiliki cukup waktu untuk melakukan persiapan, bagi penghantaran jemaah haji (untuk tahun ini sekiranya ibadah haji dibenarkan Arab Saudi),” katanya.

Keputusan itu telah mengecewakan beberapa bakal jemaah haji yang sudah lama menanti peluang selama bertahun-tahun.

“Saya tahu kemungkinan itu, namun sekarang ia sudah rasmi saya tidak dapat buat apa-apa selain kecewa – saya telah menunggu peluang ke tanah suci selama bertahun-tahun,” kata Ria Taurisnawati seorang kakitangan awam berusia 37 tahun memberitahu AFP dengan esak tangis.– AFP