MAKASSAR, INDONESIA, 19 MAC – Indonesia membatalkan satu perhimpunan hampir 9,000 jemaah Islam dan mulai mengkuarantin mereka serta memeriksa kesihatan mereka hari ini untuk mengekang penyebaran koronavirus.
Perhimpunan empat hari di sebuah sekolah berasrama di kawasan luar bandar di selatan wilayah Sulawesi tidak diluluskan oleh pihak berkuasa kerana menimbulkan kebimbangan ia mungkin menyebar virus dengan meluas di negara tersebut.
Ia dianjurkan oleh gerakan dakwah Islam, Jamaat Tabligh, yang mengadakan acara yang sama di Malaysia tiga minggu lalu yang telah dikaitkan dengan dua pertiga daripada 790 jangkitan dalam negara serta puluhan kes di negara lain.
Gabenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah berkata kumpulan perubatan yang memeriksa lebih daripada 8,600 peserta menemui seorang lelaki tempatan demam dan telah dibawa ke sebuah hospital.
“Kami telah bekerja keras untuk menangani isu ini, melibatkan pemimpin agama dan anggota keselamatan. Kami telah memberitahu jemaah bahawa kami berada dalam keadaan darurat koronavirus dan hanya tindakan awam yang boleh mematahkan penyebaran COVID-19,” kata Abdullah. Ketua jawatankuasa berkata ia menerima keputusan kerajaan demi keselamatan semua orang.
Abdullah berkata 411 warga asing dari sembilan negara termasuk Malaysia, Singapura dan Arab Saudi akan dikuarantin di sebuah hotel. Mereka dibenarkan meninggalkan negara kemudian berdasarkan tarikh tiket mereka. Warga Indonesia akan diiringi ke kampung halaman mereka atau diwajibkan tinggal dalam asrama kerajaan, namun kuarantin adalah wajib selama 14 hari sebaik sahaja mereka sampai di rumah,” kata Abdullah. – AP
